25 Mar 2012

Mukkadimah...

Assalamualaikum...

Lama sudah saya tak update blog. Walaupun ada banyak masa lapang untuk update, tapi punca lama tak update sebab tak ada idea nak tulis apa!!! haha. memang inilah masalah saya dalam berblogging ni.

Well, macam mana sekali pun kali ni saya dah update sebab saya baru mendapat idea untuk menulis disebabkan baru-baru ini tercetus satu isu yang agak sensitif dan melibatkan semua orang Islam di Malaysia.

Ok, just straight forward, isu itu mengenai Undang-undang Islam, atau yang familiar kita dengar; Hudud. Isu ni bagi saya semakin hangat diperkatakan apabila timbul kes ucapan Mantan PM Malaysia, Dr.M menyatakan bahawa hukum Hudud tidak ada dalam al-Quran. Terus terang saya katakan bahawa antara tokoh yang saya memang respect adalah beliau salah seorangnya, namun tidak bermakna semua idea beliau saya terima. Mungkin beliau masih belum menguasai sepenuhnya tentang undang-undang Islam. Tapi saya masih respect beliau lagi kerana dia mempunyai ilmu dan pelbagai idea yang mantap untuk bangunkan negara.

Oleh sebab itu, saya telah mencari beberapa info mengenai hukum Hudud ini dan tulis entri ni untuk memberi info ringkas supaya kita boleh faham apa yang dimaksudkan dengan Hudud. Sememangnya, hukum Hudud ini tidaklah sekejam mana yang diperkatakan oleh mereka yang menentang hukum Allah ini. Sangat mudah untuk melaksanakan hukum Hudud ini ke atas pesalah, namun Islam begitu teliti dalam meletakkan kesalahan terhadap seseorang. Which mean, kita tidak boleh sewenang-wenangnya meletakkan tuduhan terhadap seseorang berbanding dengan undang-undang sivil yang kita guna sekarang.

Lagipun, undang-undang Islam, especially Hudud ni, kita pernah belajar dalam silibus Pendidikan Islam Tingkatan 4... ke Tingkatan 5? lebih kurang macam tu la.. Tapi yang pasti, kita memang dah belajar tentang hukum Allah ini. Boleh semak semula buku teks PI...

Selain tu, boleh jugak semak terjemahan al-Quran mengenai hukum Hudud ini...

  • Surah al-Maidah, 33- hukuman Muharabah (Rompakan)
  • Surah al-Maidah, 38- hukuman mencuri (potong tangan)
  • Surah al-Maidah, 44- hukum pemimpin tidak melaksanakan Hudud
  • Surah al-Maidah, 45- hukuman Qisas dan hukuman yang tidak dilaksanakan
  • Surah al-Maidah,47-49- hukum rakyat tidak melaksanakan Hudud/ menyokong pemimpin tidak melaksanakan Hudud.
  • Surah al-Maidah, 90- hukum meminum arak/ menyembah berhala (riddah)
  • Surah al-Isra', 32- larangan zina
  • Surah an-Nur, 2- hukuman zina ke atas penzina bukan muhshan
  • Surah an-Nur, 4- hukuman Qazaf (tuduh zina)
  • Surah an-Nisa, 15- hukum zina bagi penzina muhshan
  • Surah al-Hujurat, 9- hukuman bagi baghyun (pemberontak)
ok, nak lebih lanjut mengenai hukum Hudud ni, boleh klik di sini. Bagi kesalahan-kesalahan dalam Hudud, just klik link yang warna biru tu kalau nak tahu maksud, hukum dan cara perlaksanaannya. Sumber dipetik dan diubah suai daripada page KOLEKSI PRINTSCREEN SOAL JAWAB UAI (ORIGINAL). dan dari seorang sahabat dalam FB (lupa nama dia apa) hehe.. wallahualam.

24 Mar 2012

Sihir

Ijma' ulama telah bersepakat menyatakan bahawa sihir itu hukumnya haram dan kafirlah orang yang menghalalkannya.
Orang yang mempelajarinya, mengamalkannya dan membenarkannya adalah kafir kerana melakukan sesuatu yang syirik.

Uqubah ke Atas Pelaku Sihir

Pendapat Abu Hanifah, Malik, Ahmad, golongan Syiah dan sebilangan besar sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w.: Tukang sihir wajib dibunuh dengan dipenggal lehernya dengan pedang kerana mempelajari dan mengamalkan sihir kerana ia telah kafir dan tidak perlu disuruh taubat terlebih dahulu.

Pendapat Asy Syafi'e dan golongan Az Zahiriah : Jika perbuatan atau ucapan ahli sihir itu adalah kafir murtad, berlakulah ke atasnya hukuman seperti orang yang murtad kecuali ia bertaubat. Jika perbuatan atau perkataannya tidak kufur, maka ia tidak kafir dan tidak boleh dibunuh. Ia dihukum mengikut ketentuan hakim berdasarkan maklumat dari dalil-dalil yang sah.

Hubungan Seks dengan Haiwan

Para ulama' telah bersependapat bahawa melakukan hubungan seks dengan haiwan merupakan dosa besar.
Ahmad, Abu Daud, At Tirmizi, Ad-Daruqunthi, Al-Hakim, Al-Baihaqi, Abu Asyaikh meriwayatkan daripada Ibn Abbas r.a. bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda: "Barangsiapa yang mendatangi haiwan hendaklah kamu bunuhnya dan bunuhlah haiwan itu bersama".

Uqubah Terhadap Pesalah:

  • Pendapat golongan Malikiah- Wajib dikenakan hukuman had serupa dengan hukuman ke atas penzina. Orang muhshan direjam sampai mati dan bukan muhshan dirotan sebanyak 100 kali.
  • Pendapat golongan Hanbali- Wajib dikenakan hukuman had serupa ke atas pesalah yang melakukan liwat.
  • Pendapat golongan Hanafiah- Tidak dikenakan had kerana tidak termasuk dalam erti zina dan tiada nas dari Al-Quran atau As-Sunnah mengenainya wajib dikenakan Ta'zir mengikut ketentuan hakim.
  • Pendapat golongan As-Syafi'e- Pendapatnya yang paling kuat adalah serupa dengan pendapat mazhab Maliki, pendapat yang kedua, sama dengan pendapat Mazhab Hanafi.
Hukum Haiwan yang Disetubuhi:

Kebanyakan pendapat ulama' mengatakan bahawa haiwan tersebut perlu dibunuh untuk mengelakkan masyarakat sekeliling mengumpat (ghibat) mengelakkan daripada pesalah melakukan kali kedua dengan haiwan yang sama dan untuk mengelakkan kekotoran ke atas pemakan.
 

Liwat

Pengertian Liwat:

Liwat ialah hubungan seks antara lelaki dengan lelaki melalui jalan belakang (dubur) dan termasuk juga dengan hubungan seks antara lelaki dan perempuan yang melalui jalan belakangnya.
Liwat adalah lebih khusus kepada hubungan homoseks walaupun tidak melibatkan jalan belakang.

Hukum Liwat:

Liwat dipandang keji dalam agama Samawi, begitu juga dalam Islam. Ia bermula sejak zaman nabi Luth di mana lelaki melempiaskan nafsu terhadap lelaki dan tidak mendekati isteri-isteri mereka.

Ijma' ulama' bahawa liwat adalah dosa besar dan dikenakan hukuman duniawi dan ukhrawi.

Uqubah Terhadap Pesalah Liwat:
(a) Kebanyakan ulama berpendapat bahawa orang yang melakukan liwat wajib dikenakan hukuman mati walaupun pesalah bukan muhshan. Di antara pendapat seperti berikut:

  • Abu Bakar dan Ali  berpendapat bahawa orang yang berliwat hendaklah dipenggal lehernya dengan pedang, kemudian mayatnya dibakar.
  • Umar dan Uthman pesalah hendaklah ditindih dengan tembok atau dinding batu sampai mati.
  • Abdullah bin Abbas berpendapat pesalah dan pasangannya hendaklah dicampak dari bangunan yang paling tinggi dalam negeri.
(b) Ulama lain berpendapat hukuman ke atas pesalah liwat sama dengan hukuman yang dikenakan kepada pesalah zina.

Syarat-Syarat Perlaksanaan Hukuman:

Syarat-syaratnya adalah sama seperti syarat perlaksanaan hukuman zina, dan juga melibatkan:
  1. Pelakunya hendaklah mukallaf, dewasa dan berfikiran waras
  2. Melakukan liwat dengan sengaja, tanpa paksaan.


Pemberontakan (Baghyun)

Ada 5 golongan yang dikategorikan sebagai penderhaka (pemberontak), iaitu:

  1. Golongan yang tidak mentaati pemerintah kerana sengaja ingin merosakkan keamanan negeri.
  2. Kumpulan yang memberontak terhadap pemerintah yang adil kerana salah faham atau takwil yang keliru tetapi jumlahnya kecil.
  3. Golongan khawarij yang mengkafirkan orang yang melakukan dosa-dosa besar dan juga mengkafirkan Uthman, Ali, Thalhah, Az Zubair dan banyak sahabat yang lain serta menghalalkan darah orang Islam dan harta benda mereka kecuali yang menyertai pergerakan mereka.
  4. Golongan ahlul Haq yang menentang pemerintah dan bertujuan untuk melucutkan jawatannya kerana sesuatu takwil yang keliru, dan mereka mempunyai kekuatan yang memerlukan kekuatan pula untuk menentang mereka.
  5. Dua golongan umat Islam yang berperang kerana Ashabiah atau kerana merebutkan kekuasaan.
Uqubah ke Atas Buhgah:
  • Segolongan ulama' berpendapat pemberontak wajib terus diperangi keran membiarkan mereka akan melahirkan banyak lagi kerosakan yang sukar diperbaiki.
  • Sebahagian ulama' pula berpendapat bahawa pemberontak wajib diperangi terus, namun harus dinasihatkan dan diberi amaran terlebih dahulu.

Perompakan (Muharabah)

Pengertian:
Muharabah atau Hirabah ialah sekumpulan orang bersenjata dalam sesebuah negara Islam yang menimbulkan kekacauan, menumpahkan darah,  merompak harta benda, memperkosa kehormatan wanita, menculik, merosakkan tanaman, ternakan dan sebagainya.
Perompak ini mungkin dilakukann oleh sekumpulan orang Islam atau orang kafir Zimmi atau Harbi.

Syarat-syarat Muharabah:

  1. Pelakunya adalah mukallaf, lelaki atau perempuan, Islam atau tidak.
  2. Mempunyai kekuatan senjata yang digunakan untuk merompak walau tongkat mahupun batu sekali pun.
  3. Melakukan secara terang-terangan.
  4. dan lain-lain syarat yang diperselisih olehh para ulama'
Uqubah Terhadap Kesalahan Hirabah:
  1. Hukuman mati
  2. Hukuman Salib
  3. Potong tangan dan kaki secara bersilang
  4. Dibuang negeri.
Segolongan ulama' berpendapat bahawa hakim boleh memilih hukuman berdasarkan besarnya kesalahan jenayah yang dilakukan oleh pesalah.

Perlaksanaan Hukuman:

 Setelah ada pengakuan daripada pesalah sendiri (jika dia menarik balik sebelum hukuman dijalankan maka hukuman tersebut akan digugurkan) atau persaksian oleh dua orang saksi lelaki yang adil, maka hukuman akan dijalan seperti berikut:
  1. Kumpulan perompak yang membunuh sahaja dikenakan hukuman mati. Hakim dan wali mangsa yang terbunuh tidak boleh memaafkan pesalah.
  2. Kumpulan perompak yang membunuh dan merompak harta benda dikenakan hukuman salib dan bunuh.
  3. Kumpulan perompak yang merompak harta benda dikenakan hukuman potong tangan dan kaki secara bersilang.
  4. Kumpulan yang hanya mengganggu ketenteraman awan atau lalulintas akan dikenakan hukuman buang negeri.
Taubat Sebelum Ditangkap:

Kebanyakan ulama' berpendapat bahawa taubat hanya menggugurkan hukuman pencurian dan pelanggaran hak-hak Allah, tetapi dipertanggungjawabkan ke atas kesalahan pertumpahan darah dan harta benda yang masih ada di tangan pesalah.

Cara Bertaubat:

Kebanyakan ulama' berpendapat pesalah perlu meninggalkan kejahatan perompakannya tanpa perlu mendatangi kepala negara, ataupun dia membuang senjatanya dan mendatangi kepala negaranya sebagai seorang yang taat.

Pencurian

Pengertian Pencurian:

Pencurian ialah mengambil barang kepunyaan orang lain dengan sengaja dan secara senyap-senyap dari tempat simpanan yang wajar.
Ciri-ciri pencuri itu ialah:
  1. Mengambil barang kepunyaan orang lain. Hukuman potong tangan tidak dikenakan kepada pencurian yang melibatkan pengambilan barang dari Baitul Mal, barang syarikat yang mana dia adalah ahli, suami curi barang isteri, dan orang tua mencuri barang kepunyaan anaknya.
  2. Secara senyap-senyap. Mengambil secara terang-terangan tidak melibatkan hukuman had.
  3. Barang yang diambil dari tempat yang wajar. Mengambil barang kemas di luar rumah, ambil padi di sawah, ambil haiwan di ladang dinamakan pencurian, namun tidak dikenakan hukuman potong tangan.
  4. Dengan sengaja. Mengambil barang orang kerana tersalah ambil, terlupa, dipaksa, atau terpaksa kerana lapar tidak dikenakan hukuman potong tangan.
"Umatku tidak dipertanggungjawabkan kerana tersalah, terlupa dan orang-orang yang dipaksakan" (Hadith Riwayat Ibn Majah, Ibn Hibban, Ath-Tabrani, dan Al-Haakim)
Syarat-syarat Pencurian:
      Pencuri:

  1. Mukallaf (dewasa dan waras pemikiran).
  2. Dilakukan dengan sengaja.
  3. Pencuri tiada hubungan langsung dengan barang-barang yang dicuri.
Barang yang dicuri:
  1. Halal dari segi hukum
  2. Barang-barang yang dicuri diletakkan di tempat simpanan yang layak.
  3. Barang yang dicuri cukup nisabnya. Nisab barangan yang dicuri bernilai 1/4 dinar emas atau 3 dinar perak (9.36 gram emas). atau senilai 1/4 dinar.
Aisyah r.a. berkata: "Adalah Rasulullah s.a.w. memotong tangan pencuri yang mencuri 1/4 dinar ke atas" (Hadith Riwayat Jama'ah Ahli Hadith selain Ibn Majah)

Umar r.a meriwayatkan: "Bahawasanya Rasulullah s.a.w. memotong tangan pada (pencurian) sebuah perisai yang berharga tiga dirham." (Hadith Riwayat Jama'ah Ahli Hadith)

Dalam riwayat yang lain,Rasulullah s.a.w bersabda: "Janganlah kamu potong tangan pencuri melainkan 1/4 dinar ke atas." (Hadith Riwayat Ahmad, Muslim, An Nasai dan Ibn Majah).

Golongan mazhab hanafi berpendapat bahawa nisabnya mestilah lebih daripada 10 dirham.

 Pencurian Berkumpulan.

Apabila sekumpulan orang mencuri barang kepunyaan orang lain dan jika dibahagikan masing-masing masih cukup nisab, mereka semua dipotong tangan.
Namun, jika harta tersebut dibahagikan dan masing-masing tidak cukup nisab, dalam hal ini para ulama' berselisih pendapat:
  • Golongan Jumhur Ulama berpendapat mereka dipotong tangan kerana mereka mencuri barang yang cukup nisabnya, bukan setelah dibahagi.
  • Abu Hanifah pula berpendapat mereka tidak dipotng tangan kerana barang yang dicuri mereka tidak mencukupi nisab apabila dibahagi-bahagikan.
Uqubah ke Atas Kesalahan Pencurian:
  1. Hukuman potong tangan
  2. Barang yang dicuri hendaklah dikembalikan
  3. Menggantungkan tangan yang dipotong di leher pencuri.
Dari Aisyah r.a. "Demi Tuhan yang menciptakan diriku, walau sekiranya Fatimah binti Muhammad mencuri, sesunggunya akan ku potong tangannya itu". (Hadith Riwayat Ahmad, Ashab Al-Kutub As Sittah)
Gugurnya Hukuman Potong Tangan:

Sekiranya pencuri menarik balik pengakuannya sebelum dikenakan hukuman potong tangan, maka gugurlah hukuman tersebut ke atasnya.

Pencurian yang tidak dikenakan Had:
Pencurian yang tidak dikenakan hukuman had akan dikenakan hukuman Ta'zir iaitu:
  • Pencurian dilakukan oleh kanak-kanak atau orang gila
  • Pencurian tidak cukup nisab
  • Pencurian barang-barang kepunyaan bersama
  • Barang-barang yang dicuri tidak sah dimiliki
  • Pencurian yang dipaksa atau kerana terlalu lapar
  • Pencurian barang oleh orang tua terhadap anaknya.
















Qazaf

Pengertian Qazaf:


  • Qazaf bermaksud tuduhan zina. Tuduhan zina adalah sangat besar dosanya. Ia tidak termasuk dalam hukuman Hudud, tetapi termasuk dalam Ta'zir. 
  • Qazaf hendaklah dengan perkataan yang jelas dan terang iaitu dengan menggunakan perkataan zina dan menafikan anak yang dilahirkan atau sedang dikandung isterinya atau menggunakan perkataan yang serupa dengan zina dalam bahasa lain.
  • Menurut pendapat ulama', tuduhan mestilah secara terbuka,tuduhan secara tertutup tidak termasuk dalam qazaf.
  • Namun dalam al-Quran dan Hadith telah menyebut tentang qazaf secara umum, jadi qazaf secara terbuka, tertutup, bertulis dan sebagainya dikira sebagai qazaf menurut pandangan sebilangan besar Jumhur Ulama'.
Syarat-Syarat Perlaksanaan:

(a) Orang yang menuduh:
  1. Berfikiran waras
  2. Dewasa
  3. Tuduhan dilakukan secara terang-terangan dan sengaja, bukan dipaksa.
(b) Orang yang dituduh:
  1. Berfikiran waras
  2. Dewasa. Kebanyakan pendapat ulama' membataskan umur yang dituduh bagi lelaki ialah 10 tahun manakala perempuan ialah 7 atau 9 tahun.
  3. Orang Islam
  4. Merdeka. Hamba tidak dikenakan hukum Had
  5. Orang yang dituduh tidak membuat zina sebelum dan sesudah dituduh.
Sabit Kesalahan Qazaf:

Kesalahan Qazaf menjadi sabit melalui salah satu dari dua cara:
  1. Pengakuan penuduh sendiri dan gagal mendatangkan 4 orang saksi
  2. Persaksian dua orang lelaki yang adil.
Uqubah ke Atas Kesalahan Qazaf:
  1. 80 hukuman cemeti
  2. Hilang hak persaksian kerana tergolong dalam kumpulan fasiq. Haknya akan pulis selepas bertaubat dan beramal soleh.
Perlaksanaan hukuman ini dilakukan oleh hakim atas tuntutan yang tertuduh sendiri atau walinya.

Gugurnya Hukuman:

Penuduh akan terlepas daripada hukuman Had sekiranya dapat mengemukakan 4 orang saksi yang adil, atau tertuduh mengaku bahawa dia sememangnya telah melakukan zina.


Li'an:
  • Qazaf juga dilakukan oleh suami terhadap isterinya tanpa persaksian oleh 4 orang saksi dan isteri mengaku tidak bersalah.
  • Apabila suami menuduh isterinya berzina dan menafikan anak yang dikandung isterinya dan ia tidak mempunyai 4 orang saksi, maka dia dibebaskan dari dikenakan hukuman had qazaf dan diberi peluang untuk bersumpah sebanyak 4 kali bahawa isterinya benar-benar berzina, dan pada kali kelima dia bersumpah : Jika aku berbohong maka aku akan mendapat laknat dari Allah
  • Isteri pula diberi hak untuk membela diri dengan bersumpah sebanyak 4 kali bahawa suaminya berbohong dan untuk kali kelima dia bersumpah,: Jika suamiku benar dengan pertuduhannya, maka aku akan mendapat kemurkaan Allah.
  • Hal ini yang dinamakan sebagai Li'an.




























Zina

Pengertian Zina:

Zina ialah persetubuhan haram melalui alat kelamin lelaki dengan dan wanita di luar pernikahan yang sah sama ada pasangan itu melakukan secara
  • rela, 
  • dengan bayaran ataupun tidak
  •  pemerkosaan atau tidak
  • dilakukan oleh seorang dewasa dan pasangannya bukan dewasa 
  • dilakukan oleh suami isteri atau tidak
  • dilakukan oleh orang yang pernah bersuami@beristeri atau tidak
Hubungan seks yang dilakukan di luar pernikahan yang sah adalah dinamakan sebagai zina.

Hukum Zina:

Zina adalah perbuatan yang keji termasuk dalam kelompok dosa-dosa besar. Dalil-dalilnya:
Sabda Rasulullah s.a.w: "Tidak ada dosa sesudah syirik dengan Allah lebih besar dari benih yang pernah ditumpahkan oleh seorang lelaki ke dalam kemaluan perempuan yang tidak halal baginya" (Hadith Riwayat Ibn Abi Ad-Dunia (dhaif),)
"Barang siapa yang berzina atau meminum khamar, Allah mencabut iman daripadanya bagaikan orang mencabut baju dari kepalanya" (Hadith riwayat Al-Hakim (dhaif),)" 
Jenis-jenis Zina:

A. MUHSHAN
Lelaki atau wanita yang pernah menikmati persetubuhan dalam perkahwinan yang sah, sama ada keluar mani atau tidak, sama ada masih dalam ikatan perkahwinan atau tidak.
Hukuman yang diancam ialah uqubah di dunia dan 'iqab di akhirat. Di dunia dikenakan hukuman mati; direjam sampai mati.

Syarat-syarat perlaksanaan:

  1. Berakal waras. Orang gila tidak dikenakan hukuman rejam sampai mati, hanya dikenakan Ta'zir. Orang mabuk yang berzina juga dikenakan hukuman rejam, kecuali mabuk disebabkan pasksaan atau tersalah minum, lalu melakukan zina maka terlepas dari hukuman.
  2. Orang dewasa
  3. Orang merdeka. Hukuman terhadap hamba adalah separuh daripada hukuman orang merdeka.
  4. Telah menikmati hubungan seks dalam perkahwinan yang sah, walaupun tidak sampai keluar mani.
  5. Zina dilakukan dengan sukarela. Orang yang dipaksa zina atau tersalah orang tidak akan dikenakan hukuman rejam. 

Pendapat-pendapat Mengenai Zina

  • As-Syafi'e, Hanbali dan Maliki- Tidak dikenakan hukuman rejam apabila seorang lelaki berzina dengan seorang wanita yang tidur di kamar rumahnya kerana menyangka wanita itu adalah isterinya. Walaupun ia termasuk dalam kategori zina, tetapi terdapat ciri-ciri subhat, yang mana subhat menggugurkan Hudud.
  • Hanafi- Waib dikenakan hukuman had kerana tidak mungkin lelaki itu tidak mengenali isterinya sendiri melalui sentuhan, bau dan suaranya.
  • Imam Abu Hanifah- Berzina dengan wanita yang diupah tidak dikenakan hukum Hudud kerana upah itu dianggap sebagai maharnya. Pendapat beliau ditentang keras oleh para ulama' termasuk sahabat-sahabatnya. Pendapat ini juga bertentangan dengan dalil-dalil naqli dan aqli. Jika menurut pendapat beliau, orang yang berzina dengan pelacur terlepas hukuman had kerana telah membayar upah kepada wanita yang ditiduri itu.
  • Imam Ibnu Hazm- Lanjutan daripada kes Imam Abu Hanifah, beliau menyatakan dengan tegas bahawa penzinaan antara lelaki dan perempuan yang diupah adalah lebih teruk daripada penzinaan tanpa upah kerana telah melakukan perbuatan haram yang lain lagi iaitu memakan harta dengan jalan yang batil.
Sabit Kesalahan Zina:

(a) Pengakuan mestilah memenuhi syarat-syarat berikut:
  1. Berakal
  2. Pengakuan hendaklah dilakukan secara lisan
  3. Dewasa
  4. Secara sukarela
Bilangan Pengakuan:
Pengakuan cukup hanya sekali menurut Asy Syafi'e, Maliki, Al Hasan , Daud, Hammad bin Abu Sulaiman, Abu Thaur, dan Ath- Thabari.

Menarik Balik Pengakuan:
Apabila penzina menarik semula pengakuan, maka tidak dikenakan hukuman menurut Asy Syafi'e, Hanafi dan Ahmad.

(b) Persaksian Zina:

Syarat-syaratnya ialah:

  1. Persaksian mestilah 4 orang saksi. Sekirannya saksi tidak cukup 4 orang, maka mereka akan dikenakan hukuman 80 kali rotan kerana tidak cukup saksi.
  2. Saksi mesti lelaki
  3. Beragama Islam
  4. Dewasa
  5. Waras fikiran
  6. Tuduhan secara terang-terangan bukan dengan sindiran
  7. Melihat kesalahan zina secara jelas yakni melihat kemaluan lelaki masuk ke dalam kemaluan perempuan.
  8. Persaksian keempat-empat saksi hendaklah dibuat dalam satu majlis, bukan di tempat dan masa yang berlainan.
Dari Ibnu Abbas, "Hendaklah engkau bawakan empat orang saksi dalam menuduh zina terhadap seseorang atau hukuman sebat ke atas belakangmu".
(c) Kerana Si Wanita Mengandung
Kebanyakan ulama' berpendapat bahawa wanita yang mengandung tanpa diketahui bapa kandungannya tidak dikenakan hukuman had semata-mata tetapi hendaklah dengan pengakuan atau persaksian 4 orang saksi. Sebab kandungan itu mungkin kerana hubungan seks dalam perkahwinan fasiq, mungkin kerana dipaksa, atau mungkin hubungan seks yang dilakukan ke atasnya tanpa dia sedari semasa dia tidur atau sebab-seba yang lain.

Uqubah atas Penzina Muhshan:
Direjam sampai Mati.


Dari Sulaiman bin Buwaidah, Maiz bin Malik pernah datang menemui Rasulullah s.a.w maka dia berkata,"Wahai utusan Allah, sucikanlah diriku!", Jawab baginda,"Kasihan engkau. Pulanglah dan mohon keampunan daripada Allah s.w.t. serta bertaubatlah kepadanya", Lalu pulanglah Maiz dan tidak lama selepas itu dia datang kembali dan menyatakan perkara yang sama seperti tadi. Perkara ini berulang sehingga sampai kali keempat, baginda bertanya, "Apakah yang aku boleh tolong untuk menyucikan dirimu?", Jawab Maiz,"Sucikanlah diriku dari dosa zina!". Maka baginda bertanya kepada semua sahabat yang ada. "Adakah Maiz ini ada penyakit gila?" Maka mereka menjawab "Tidak", Baginda bertanya lagi,"Adakah Maiz ini peminum arak?", Maka bangun salah seorang sahabat menghidu-hidu pakaian Maiz dan tidak didapati bau arak padanya. Lalu baginda bertanya lagi," Wahai Maiz, adakah kamu benar-benar melakukan zina?". Maka Maiz menjawab, "Ya!". Maka baginda memerintahkan agar Maiz dibawa untuk hukuman rejam. (Hadith ini mutawwattir, Riwayat Sahih Bukhari, Muslim, Abu Daud, At-Tirmizi, Ahmad, Al-Baihaqi, Abu Ya'ala, Al-Bazzar, At-Tabrani. Rujuk juga kitab Jamie' Al-Usul(4/279), Nailul Awtar (7/95&109), Majma' az-Zawaid(6/266), Nasbur Rayah (3/314), Subulus Salam(4/6), at-Talkhis Al-Habir (ms 350).)

Cara Perlaksanaan Hukuman Rejam.

  1. Hukuman dilakukan secara terbuka dan disaksikan oleh sekumpulan orang Islam, baik mengenai hukuman rotan ataupun rejam.
  2. Hukuman bagi wanita yang mengandung hendaklah ditangguhkan sampai ia bersalin dan selesai menyusukan anaknya dalam tempohnya, jika tidak ada orang lain yang menyusukan anaknya.
  3. Wanita yang direjam hendaklah direjam sambil duduk manakala lelaki pula direjam sambil berdiri.
  4. Pakaian orang yang direjam hendaklah diikat dengan baik supaya tidak terbuka auratnya sewaktu dia menggelupur kesakitan semasa direjam.
  5. Munurut Abu Hanifah, orang yang menjadi saksi wajib menjadi orang pertama yang merejam. Jika wanita itu membuat pengakuan sendiri, maka pemimpin negara atau wakilnya wajib memulakan hukuman tersebut.
  6. Menggali lubang untuk orang yang direjam.
B. PENZINA BUKAN MUHSHAN

Lelaki atau wanita yang belum pernah menikmati hubungan seks dalam perkahwinan yang sah, walaupun telah melakukan hubungan seks di luar pernikahan yang sah.

Uqubah Terhadap Penzina Bukan Muhshan:

  1. Cabukan rotan 100 kali
  2. Pembuangan negeri (Daerah) selama setahun
Syarat-syarat Perlaksanaan Hukuman:
Sama seperti hukuman terhadap penzina muhshan.

Cara Perlaksanaan Uqubah:
  1. Wanita yang hamil hendaklah ditangguhkan hukuman sampai ia bersalin dan tamat tempoh penyusuan anaknya.
  2. Penzina yang sakit ditangguhkan hukuman sehingga sembuh.
  3. Hukuman tidak boleh dilakukan dalam keadaan cuaca yang terlalu panas atau terlalu sejuk.
  4. Pesalah dirotan sambil duduk.
  5. Cambukan rotan dikenakan kepada seluruh anggota badan kecuali kepala, muka dan kemaluan (menurut pendapat Asy Syafi'e dan Abu Hanifah.
  6. Rotan yang digunakan bersaiz sederhana besarnya. Jika pelepah tamar digunakan maka hendaklah digunakan pelepah tamar yang separuh kering.
  7. Jika hukuman itu dikenakan atas dasar pengakuan pesalah sendiri, malah hukuman diberhentikan atau digugurkan jika pesalah menarik balik pengakuannya.
  8. Perlaksanaan hukuman rotan hendaklah disaksikan oleh segolongan orang Mukmin.































23 Mar 2012

Pemabukan

Pengertian Khamar:

Khamar ialah sesuatu yang memabukkan yang merosakkan akal sama ada cecair yang dinamakan sebagai arak, atau pepejal yang dinamakan candu. Semua bahan yang sifatnya memabukkan dan merosakkan akal dinamakan khamar, dari bahan apapun ia dibuat.

Hukum Khamar:

Hukum khamar ialah haram dan berdosa besar kerana ia merupakan ibu segala kejahatan dan kejijikan. Iman orang yang mengambilnya akan diragui.

Uqubah ke Atas Pemabukan:

Para ulama' bersepakat tentang hukuman rotan ialah hukuman yang wajib dikenakan kepada peminum arak, namun mereka berbeza pendapat mengenai jumlah sebatan.

  • As-Syafi'e berpendapat sebatan itu ialah 40 kali. Pendapat ini berdasarkan hadith, Riwayat Muslim: 
Ali telah merotan Al-Wahid bin Uqbah sebanyak 40 kali rotan, kemudian beliau berkata; " Rasulullah telah merotan 40 kali rotan, Abu bakar merotan sebanyak 40 kali, Umar sebanyak 80 kali rotan, semuanya berdasarkan sunnah dan saya lebih menyukai ini (40 kali rotan)

  • Abu Hanifah dan sahabat-sahabatnya, Malik, Al-Laith keluarga Rasul dan pendapat lain dari As-Syafi'e menetapkan bahawa hukuman terhadap peminum arak ialah 80 rotan. 
Alat Merotan Peminum:

Tiada sabit dari Rasulullah bahawa beliau menetapkan alat-alat tertentu untuk merotan peminum arak:
  • Kadang-kadang baginda memukul menggunakan selipar
  • Kadang-kadang dengan pelepah tamar
  • Kadang-kadang rotan dan pelepah tamar
  • Kadang-kadang dengan tangan dan selipar
Syarat-syarat perlaksanaan:
  • Peminum hendaklah berfikiran waras
  • Seorang dewasa. Kanak-kanak tidak dikenakan hukuman had rotan tetapi dikenakan hukuma Ta'zir menurut ketentuan hakim.
  • Minum arak dengan sengaja
  • Peminum mengetahui bahawa minuman yang diminum adalah arak
Sabitnya kesalahan:

Boleh ditentukan melalui dua cara iaitu:
  1. Dengan pengakuan oleh peminumnya sendiri
  2. Dengan persaksian dua orang saksi yang adil.
Hukum Berubat dengan Khamar

Sepakat para ulama' bahawa arak haram hukumnya dan termasuk dalam salah satu dosa besar. Tiap-tiap sesuatu yang diharamkan minumnya, maka haramlah ia dimakan, diperniagakan dan dihadiahkan walaupun kepada orang yang bukan Islam dan haram pula dijadikan ubat-ubatan.
Rasulullah s.a.w bersabda," Apa yang memabukkan dalam jumlah yang banyak adalah diharamkan walau dalam jumlah yang sedikit." (Sunan Ibnu Majah, no.3392, jilid 3, bab 30) 
Hukum Mencari Rezeki dengan Khamar:

  • Oleh sebab khamar telah diharamkan oleh Allah dan Rasulullah,dan ia juga termasuk dalam dosa besar, maka haramlah mencari rezeki dengan khamar itu.
  • Pengharamannya meliputi semua pekerja-pekerja di kilang khamar, pengangkutan, ladang-ladang kepunyaan kilang atau pengusaha khamar, kedai-kedai khamar, pengusaha import dan eksport khamar dan sebagainya.
Jabir bin Abdullah r.a. telah meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda:
"Bahawa Allah mengharamkan penjualan khamar, bangkai, babi dan patung-patung berhala"(Hadith riwayat Al-Bukhari dan Muslim)


























Riddah

Riddah merupakan perbuatan keluar dari agama Islam oleh orang Islam yang mukkalaf. Orang yang melakukan Riddah dinamakan Murtad.

Sebab berlaku Riddah:

  • Rosak keyakinan hati
  • Mengucap perkataan-perkataan kufur
  • Melakukan perbuatan-perbuatan kufur
Perbuatan riddah dikira sah apabila:
  • Tidak memperakui Allah s.w.t adalah Tuhannya dan Rasulullah adalah utusan Allah.
  • Tidak mempercayai tentang wujudnya Hari Kiamat.
  • Tidak mempercayai Qada' dan Qadar
  • Tidak mempercayai kewujudan malaikat
  • Tidak mengakui kesahihan Al-Quran
  • Menentang perintah Allah seperti solat 5 waktu, mengerjakan Haji, berpuasa di bulan Ramadhan, membayar zakat, dan lain-lain
  • Mengerjakan ritual atau penyembahan agama lain.
Syarat-syarat Riddah:
  • Yang melakukan Riddah adalah orang Islam.
  • Orang dewasa
  • Berfikiran waras. Kanak-kanak dan orang gila yang murtad tidak dikira sah, oleh sebab itu mereka tidak dikenakan hukuman had, namun bagi kanak-kanak yang murtad perlu dikenakan hukuman ta'zir bagi mencegahnya untuk menjadi murtad lagi.
  • Perbuatan Riddah itu dilakukan dengan sengaja. Perbuatan Riddah yang tidak sengaja akibat dipaksa atau terlupa adalah tidak sah dan orang yang melakukannya tidak bersalah, seperti kisah Keluarga Yasir.
  • Perbuatan Riddah itu meyakinkan dan tidak meragukan sama sekali. Mempunyai bukti-bukti yang terang dengan pengakuan atau dengan persaksian yang adil saksama. Tidak boleh tuduh melulu.
Uqubah (Hukuman) bagi orang murtad
  • Orang yang murtad adalah HALAL DARAHNYA dan WAJIB dikenakan hukuman MATI.
"Barang siapa yang menukarkan agamanya (keluar dari Islam), maka hendaklah dia dibunuh" (Bukhari 2/280, Abu Daud (4351), At Tirmizi (145), Nasaie (7/104), Ahmad (1/282),)

  • Ibnu Mas'ud meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w pernah bersabda: 
"Tidak halal darah bagi seseorang muslim melainkan kerana salah satu daripada 3 perkara; kafir sesudah beriman (murtad), berzina sesudah ihshan(muhshan), dan membunuh jiwa seseorang" (hadith Muttafaq 'Alaih, Riwayat Bukhari, Muslim)
*muhshan- orang yang telah menikmati hubungan seks di alam perkahwinan sama ada masih berpasangan, bercerai atau kematian pasangan*


  • Cara membunuh orang yang murtad ialah dengan memenggal lehernya menggunakan pedang berdasarkan hadith berikut;

"Muaz bin Jabal datang menemui Abu Musa Al-Asy'ari di Yaman, tiba-tiba di sisinya terdapat seorang lelaki. Muaz berkata,"Apa ini?". Abu Musa menjawab," Seorang lelaki Yahudi yang memeluk Islam kemudian dia kembali menjadi Yahudi, dan kami menghendakinya kembali kepada Islam semenjak dua bulan. Kata Muaz," Demi Allah, aku tidak akan duduk sebelum kamu penggal lehernya", lalu orang itu pun dipenggal lehernya. Berkatalah Muaz,"Allah dan RasulNya memutuskan bahawa barangsiapa yang murtad dari agamanya hendaklah kamu bunuh akan dia". (diriwayatkan Ahmad)

Taubat orang Murtad:

Sebelum melaksanakan hukuman mati, seorang murtad disuruh bertaubat. Lalu jika dia bertaubat, maka gugurlah hukuman mati ke atasnya.

Jika tidak mahu bertaubat, maka dia dikenakan hukuman mati. Para ulama' tidak sependapat dalam hukum Istitabah (menyuruh taubat) terhadap orang murtad:

  • Sebahagian besar para fuqaha berpendapat bahawa hukum menyuruh orang bertaubat sebelum di bunuh adalah wajib. Golongan yang berpendapat sedemikian ialah, mazhab Maliki, Hambali, As-Syafi'e, Syi'ah Zaidiah, At-Thauri, dan Al-Auza'i.
  • Abu Hanifah dan pendapat lain dari di atas berpendapat hukum istitabah itu hanyalah sunat.
  • Golongan mazhab Zahairi pula berpendapat, bahawa istitabah bukanlah satu kewajipan dan bukan juga satu halangan.
  • Al-Hasan Al-Bashri, Thawus dan lain-lain berpendapat bahawa orang murtad itu wajib dibunuh dengan segera dan tidak perlu diberi tempoh untuk bertaubat. Pendapat ini bertentangan dengan dalil-dalil yang sah.
Berkenaan dengan tempoh bertaubat pula, para ulama' berselisih pendapat. Ada yang mengatakan 3 hari, sebulan, dan ada yang mengatakan lebih daripada itu. Tempoh bertaubat sebenarnya tidak mempunyai dalil yang sah membataskan tempoh itu. Semuanya berdasarkan ijtihad hakim.



Akibat Riddah:


  1. Hubungan perkahwinan terputus. Salah seorang daripada pasangan tersebut telah murtad. Pemutusan ikatan perkahwinan kerana riddah dikira sebagai Fasakh.
  2. Kehilangan hak perwalian. Tidak boleh menjadi wali kepada orang Islam dalam apa jua bidang.
  3. Kehilangan hak harta pusaka. Menurut hukum, kedudukan orang murtad adalah lebih rendah daripada kafir biasa, maka ia hilang hak menerima pusaka keluarganya.
  4. Kehilangan hak persaksian. Orang Islam yang hendak menjadi saksi mestilah orang Islam yang adil. Orang Islam yang fasik tidak diterima sebagai saksi. Orang kafir tidak boleh menjadi saksi walaupun kafir Zimmi, kecuali dalam perkara orang Islam yang hendak meninggal dunia dalam perjalanan apabila tidak ada orang Islam.
  5. Kehilangan hak dalam pimpinan dan jawatan. Jika orang murtad itu telah menjadi pemimpin orang Islam, maka secara hukum telah kehilangan peranannya dan tidak lagi berhak memimpin orang Islam.























 

Undang-undang Jenayah Islam

Dalam undang-undang jenayah Islam, ia terbahagi kepada 3 iaitu Hudud, Qisas, Ta'zir yang mana pesalah akan dihukum setakat mana perlakuan atau kesalahan yang dilakukan. Hukuman yang diberiakan keutamaan untuk dijatuhkan ke atas pesalah ialah hukuman Hudud.

Walau bagaimanapun, jika tiada bukti yang sah, atau tidak memenuhi syarat-syarat hukuman Hudud atau tidak meliputi perkara yang dikenakan hukuman Hudud, maka individu tersebut akan dikenakan hukuman Qisas.

Jika kesalahannya tidak meliputi Qisas, maka hukuma Ta'zir akan dikenakan mengikut ketentuan hakim.

(a) HUDUD
Ciri-ciri khusus bagi Hudud:

  1. Kesalahan-kesalahan Hudud telah ditetapkan Syara'.
  2. Hukuman seksanya (Uqubah) telah ditentukan jenis-jenisnya dan berat ringannya oleh ketetapan Syara'. Tiada siapa boleh mengubah, melebihi atau menguranginya. Ia WAJIB dilaksanakan seadanya.
  3. Kesalahan-kesalahan Hudud boleh dimaafkan sebelum dibawakan ke depan hakim, TETAPI tiada siapa  yang dapat memaafkan atau mengurangkan hukuman setelah dibawa ke depan pengadilan.
  4. Semua orang yang mencukupi syarat dikenakan hukuman yang sama dan tiada pengecualian.
  5. Taubat tidak menggugurkan Uqubah kecuali dalam hal kejahatan perompakan seperti mana perompak telah bertaubat sebelum ditangkap tidak dikenakan uqubah dan orang yang murtad telah bertaubat sebelum di bawa ke muka pengadilan.
Kesalahan-kesalahan yang melibatkan Hudud:
QISAS

Qisas ialah pembalasan yang serupa dengan kejahatan yang dilakukan oleh penjenayah ke atas mangsanya. Hukum Qisas itu berlaku dalam jenayah pembunuhan sengaja dan penganiayaan atas anggota badan manusia (pemotongan anggota atau melukakan anggota). Hukuman ini bertujuan untuk mengajar dan mengawal hak asasi manusia.

Ciri-ciri Qisas:
  1. Jenis-jenis kesalahan dan hukumannya telah ditetapkan Syara'
  2. Wali yang terbunuh atau yang teraniaya boleh memilih antara Qisas atau diat (denda ganti rugi yang berupa harta benda)
  3. Qisas tidak boleh dimaafkan oleh hakim sama ada sebelum atau sesudah dibawa ke mahkamah kerana ia adalah mengenai hak asasi manusia. Hanya wali mangsa tersebut sahaja yang dapat memaafkan pesalah baik sebelum atau sesudah perbicaraan di mahkamah.
  4. Persaksian orang bisu atau tulisannya atau isyaratnya diterima dalam Qisas, tetapi tidak boleh diterima dalam Hudud.
  5. Pengakuan dalam Qisas tidak boleh ditarik balik, sedangkan pengakuan dalam Hudud boleh ditarik balik.
  6. Hakim boleh memutuskan perkara berdasarkan maklumatnya yang sendiri, tetapi tidak boleh dalam Hudud.
  7. Taubat dalam Qisas tidak boleh menggugurkan hukuman.
  8. Hanya Waliul-Amri atau hakim sahaja yang dapat melakukan Qisas.
  9. Qisas mestilah melalui pendakwaan, sedangkan Hudud (melainkan Qazaf) tidak semestinya melalui pendakwaan.

TA'ZIR
 Dari segi bahasa ia diertikan mengagungkan atau menolong. Kadangkala ia boleh membawa maksud penghinaan. Dari sgi Syara' ia bermaksud tindakan mendidik atas sesuatu dosa yang tidak mempunyai hukuman had dan Kifarat, yakni hukuman seksa yang bersifat mendidik, ditentukan oleh hakim atas satu jenayah atau maksiat yang Syara' tidak menetapkan uqubah tetapi tidak mencukupi syarat-syarat perlaksanaannya; seperti melakukan hubungan seks pada selain kemaluan (perempuan), mencuri barang-barang yang tidak dikenakan potong tangan, jenayah yang tidak dikenakan Qisas, lesbian, menuduh orang lain melakukan maksiat selain zina dan sebagainya.

Ciri-ciri khas Ta'zir:
  1. Hudud berlaku kepada semua orang adalah serupa, tidak berbeza, tetapi Ta'zir hukumannya boleh berbeza antara orang-orang yang bersalah.
  2. Hukuman Ta'zir belum ditentukan oleh Allah s.w.t. dan RasulNya mengenai jenis-jenis hukuman, ia terserah kepada kebijaksanaan hakim sendiri untuk mengadilinya.
  3. Ta'zir boleh dimaafkan orang yang bersalah sama ada sebelum atau selepas dibawa ke mahkamah.
  4. Orang yang mati kerana hukuman Ta'zir wajib dibayar dhaman (ganti rugi).
Kesalahan-kesalahan Ta'zir:
  • Kesalahan-kesalahan dalam Ta'zir sangat banyak dan di sinilah terletaknya peranan dan kebijaksanaan hakim.
  • Ia meliputi kesalahan-kesalahan yang tidak dikenakan had kerana tidak mempunyai syarat-syarat perlaksanaan yang cukup, seperti; kanak-kanak yang belum dewasa mencuri atau sebagainya, orang yang mencuri barang tidak mencukupi nisabnya atau barang yang dicuri milik Baitul Mal dan sebagainya.
  • Ta'zir termasuk dalam semua maksiat yang tidak termasuk dalam Hudud dan Qisas; lesbian, persaksian bohong, judi, memakan benda-benda haram, meninggalkan kewajipan agama seperti solat fardhu, puasa, mengerjakan haji dan lain-lain.