18 Apr 2012

Ber'iqra' lah...

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh...


Entri kali ni adalah sesuatu yang biasa dan simple saja. Iqra' bermaksud 'baca'. Menyentuh mengenai membaca, ramai yang fikir bahawa topik ini terlalu cliche dan sampai satu tahap, kita semua rasa muak dah nak dengar, kan? Tapi kenapa saya ambik port pasal 'membaca' tiba-tiba ni? Dah tak ada idea ke? Ok, benda ni walaupun dah boring sebab dari tadika lagi cikgu mengajar pasal benda ni, tapi bagi saya ia adalah sesuatu yang besar sebab apa yang saya nampak sekarang ni budaya ni semakin terhakis di kalangan masyarakat Malaysia. Perkara ini sangat membimbangkan bagi saya kerana amalan ini sebenarnya adalah amalan yang baik. Amalan yang baik, tak perlu ditinggalkan, kan? Saya pun bukan lah ulat buku, tapi saya pun perlu perbaiki diri saya jugak, kan? =)


Antara sebab atau punca orang semakin malas nak membaca:


1. Teknologi
Memang diakui bahawa kita kini dihujani dengan kecanggihan gajet-gajet digital, contohnya komputer, telefon bimbit, televisyen dan sebagainya. Kesemua barang elektronik ni sentiasa dimodifikasikan sehingga kini, kita hanya menyentuh skrin untuk mencari maklumat. Benarlah, maklumat kini dihujung jari. Tambahan pula, laman-laman sosial kini menjadi kegilaan kita tidak mengira usia.


"Eh, online facebook, kita pun boleh membaca jugak, lah"
"Kau baca apa dalam facebook?"
"Status orang, link blog, komen, blablablabla.........."
"Ok, bagus kalau kau isikan masa lapang kau dengan membaca dalam facebook, sebab ia membantu otak kau terus berjalan. Tapi macam mana pula dengan input dalam rohani kau? banyak?"
"..................."


Kita sekarang memang ada banyak yang digital, al-Quran digital, e-book, ipad, tablet dan sebagainya. Jadi, tak salah kan, kita guna gajet-gajet tu untuk membaca bahan-bahan yang berfaedah (selain dari gosip, fitnah, dan benda-benda lagha). Gajet-gajet ni membantu kita supaya tak perlu bawak buku yang tebal-tebal, nak baca dalam bas, LRT dengan muka surat beratus-ratus. Tapi kita check balik apa yang ada dalam gajet kita tu. Angry bird? (errr... yang tu je la yang aku tau pun.. hehehe).


2. Sibuk
Faktor a.k.a. alasan ni memang popular diberikan jika ditanya kenapa anda tidak meluangkan masa untuk membaca. Sebagai pelajar, pekerja, Manager, atau what ever, memang kita tak banyak luangkan masa. Mana tak nya, dari pagi sampai petang attend class, office, meeting, ko-ku, outstation, appointment dan seumpamanyalah. Malam nak berehat, yang berkeluarga lagi la.. Mana dengan nak ligan anak-anak suruh tidur, nak masak dinner, nak luangkan masa dengan famili. Kadang-kadang, kerja kita pun nak dibawa balik ke rumah. Tapi dalam kesibukan kita tu, takkan tak ada sekurang-kurangnya 10 minit yg free, kan? Kita membaca bukan nak menelaah macam profesor. Cukuplah untuk pengisian mental dan rohani. Asalkan kita sentiasa mendapat input baru, daripada kita nak buat kerja yang sama setiap hari. Mana yang lagi boring? Membaca maklumat yang baru kita tahu, ataupun buat rutin yang sama setiap hari?


3. Jenis Bahan Bacaan
Ramai orang tak dapat nak tentukan jenis bahan bacaan yang mereka nak baca. Ramai jugak yang tak berminat nak membaca tentang bahan bacaan berbentuk ilmiah. Yang menjadi pilihan adalah majalah artis, komik, novel cinta, dan sebagainya. Well, saya tak maksudkan bahan-bahan ni tak boleh baca. Saya bukan manusia yang menentukan hukum HARAM membacanya. Bagus kalau kita nak baca untuk hilangkan stress. Tapi saya nak kita semua nilai balik, berapa peratus nilai moral yang kita dapat dari bahan bacaan tersebut? Bahan bacaan ini dinamakan bahan picisan. Picisan  membawa maksud dalam Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat sebagai tidak berharga, rendah mutunya. Bayangkan 10 minit kita yang free dicelah-celah kesibukan tu disia-siakan dengan membaca bahan picisan. Kalau yang menggila dengan bahan macam ni, sanggup pulak langgan tiap-tiap bulan picisan ni. Buang duit je kan? Kalau langgan majalah Pelita Bahasa,  Solusi, Dewan Masyarakat, National Geographic dan seumpamanya tidak lah rugi jugak duit tu.


4. Institusi Kekeluargaan
Keluarga pun memainkan peranan yang penting untuk mendekatkan individu dengan amalan membaca. Pembentukan akhlak bermula dari rumah. Maknanya, ibu bapalah yang kena mendorong anak-anak supaya menjadikan amalan membaca ni adalah amalan yang wajib dalam kehidupan seharian. Masih ada lagi ibu bapa yang mungkin masih belum menyedari tentang kebaikan amalan ini. Jadi, anak-anak pun tidak mengendahkannya, lah. Saya juga melihat, ibu bapa kini sanggup berhabis wang ringgit untuk membeli ipad dan tablet untuk si anak supaya anak mereka boleh bermain dan senyap. Senanglah urusan ibu bapa. Saya cuma tertanya-tanya, adakah cara itu berbaloi untuk mendidik anak supaya ikut cakap ibu bapa? Memang diakui anak-anak kini dilimpahi dengan kemewahan, tak perlu bersusah payah. (Dalam hati jeles jugak sebab dulu nak dapat mainan RM30 pun susah). Bagi saya, lebih baik habiskan duit untuk anak-anak kecil dengan membeli buku-buku abjad. Cara ni lah yang ibu saya guna. Saya dah boleh membaca tulisan jawi @ arab dan rumi pada usia 4 tahun. Alhamdulillah. Ibu saya yang banyak mendorong saya supaya saya suka membaca (masa zaman kecik-kecik lagi la... hehe). Jadi, fikirkan semula,  kita berhabis wang tapi anak-anak masih tak dapat mengenal huruf sehingga darjah 1? Kesian si anak.


5. Kemudahan awam
Faktor ni pun selalu jugak kita persalahkan untuk menyatakan sebab kita kurang membaca.
"Kemudahan awam???", "Membaca???", "Buku???". 
"What the.......???"
Jangan terkejutlah. Ramai yang akan kata:
"Library jauh lah, bro... kedai buku pun tak dak, nak menelaah macam mana?"
"Dalam bas malas la nak baca-baca ni. nanti terlepas bus stop, jenuh nak patah balik"
"Bos kat tempat kerja aku tak bagi buat sudut bacaan or mini library. Mana ada masa nak membaca."
"Kerajaan sepatutnya sediakan rak untuk letakkan buku kat tempat-tempat public atau taman rekreasi, baru rakyat nak membaca pun senang dan selesa."
Memang ada betulnya jugak alasan ni, tapi kita sampai bila nak harapkan semua benda ada di depan mata baru nak jalan? Kita kena ingat, kita yang kena cari ilmu, bukan ilmu yang mai cari kita. Kadang-kadang saya lihat, benda dah ada kat depan mata, tapi tak ramai yang menggunakannya dengan cara yang wajar. Kemudahan awan apa lagi yang kita nak? Saya pun tak tahulah.


6. Penerimaan masyarakat.
"Aku malulah, orang lain dok ushar aku bila aku baca dalam LRT. Ada mulut-mulut busuk dok cakap kat aku ni nerd lah, nak tunjuk pandai lah, nak tunjuk rajinlah, apa lah.Padahal, aku bukan nak macam tu pun. Ni yang aku malas nak baca ni."
Masyarakat marhaen kini masih belum dapat menerima budaya membaca di tempat awam. SERIOUSLY. Inilah yang bermain di fikiran mereka apabila melihat orang lain membaca di tempat awam. Negara kita sememangnya sedang membangun, tapi apa malangnya nasib negara yang mempunyai rakyat yang destruktif. Kalau baca buku biasa pun dah orang mengata, apa lagi kalau membaca al-Quran? Ini hakikat masyarakat kononnya madani kini semakin menjatuhkan antara satu sama lain. Bukan nak mendorong untuk sesuatu kebaikan. Bagi saya, jika kita melihat seseorang yag sedang membaca, kita seharusnya mempunyai sikap 'cemburu' terhadapnya sebab dia mempunyai masa yang lapang untuk membaca. Kenapa kita tidak?Tak gitu?






Konklusinya, kita sama-sama boleh memperbaiki diri kita selagi masih ada nyawa di badan. Membaca ni tak susah. Kalau ada nota kecik macam buku '555' tu pun dah cukup. Benda ni nampak simple, kan? Tapi ia sangat bermakna dalam kehidupan kita. Ingat, nilai ilmu tidak terletak kepada ketebalan buku yang kita baca, tapi pemahaman kita terhadap apa yang kita baca. Allah s.w.t. juga telah menurunkan wahyu pertama kepada Rasulullah s.a.w. iaitu surah al-Alaq (1-5) yang mana intipati surah tersebut Allah menyeru kepada umat untuk membaca. Wallahualam.


*p/s: sedang memperbaiki cara nak menyampaikan idea. Sebab tu ayat macam skema sikit.*

No comments:

Post a Comment