Assalamualaikum…
Aku amat tertarik dengan sebuah buku yang aku nak kongsi
dengan semua orang. Tajuknya “Mengapa Rasulullah Tidak pernah Sakit” yang
ditulis oleh Dr. Adi Hashman. Ma aku yang beli kat Tesco Extra Seberang Jaya..
hehehe… Buku ni banyak memberi panduan
kepada semua orang mengenai tips-tips dan hadith-hadith Rasulullah s.a.w.
tentang penjagaan kesihatan mengikut ajaran Islam. Dalam banyak-banyak bab, aku
memang tertarik dan menyokong salah satu daripada bab yang ada dalam buku tu.
Aku ambil dan ubah suai sikit bab ini supaya menjadi ringkas dan dapat
difahami. Insya Allah…
Bab 9- Jepun: Model Gaya Hidup yang Menyihatkan
Jepun kini
memiliki jangka hayat atau “life expectancy” yang tertinggi di dunia. Kaum
lelaki di sana rata-ratanya mampu mencapai umur 78.5 tahun manakala kaum
perempuan sehingga 85.5 tahun. Secara purata masyarakat Jepun meninggal dunia
pada usia 82.4 tahun. Di daerah Okinawa, 47/100k orang penduduknya berusia
melebihi 100 tahun. Daerah ini juga
mencatatkan angka kecacatan kelahiran, penyakit kronik dan penyakit degeneratif
paling rendah berbanding di tempat-tempat lain. Seluruh negara Jepun mengalami
fenomena aging society(bilangan warga emas yang ramai).
Jepun Negara ‘Islam’ yang
Tidak Mempunyai Orang Islam
“Aku menyaksikan nilai-nilai Islam tumbuh di negeri bukan Islam, namun
aku tidak melihat Islam di negeri orang Islam sendiri”-Syeikh Muhammad Abduh
Pola kehidupan masyarakat Jepun amat mementingkan nilai-nilai disiplin, kebersihan, tanggungjawab, rasa malu, keramahan, kebersamaan, ketenteraman awam, ketertiban lalu lintas, kenyamanan persekitaran, kreativiti, kerja keras serta cinta pada alam, seni dan pengetahuan. Sistem nilai ini didamba oleh semua umat manusia dan bersifat Islamik.
Makanan Segar, Proporsional dan Hidup
Natural
Jarang sekali kita melihat orang Jepun berperut buncit atau obes kerana
orang Jepun seolah-olah memahami anjuran Rasulullah, “Berhenti makan sebelum
kenyang”.
Masyarakat Jepun terutama di Okinawa mengamalkan pengambilan kalori
sebanyak 20% lebih rendah daripada daerah-daerah lain di Jepun. Orang Okinawa mengamalkan ungkapan ‘ Hara
hachi bu’ bermaksud penuhkan perut dengan batasan 8/10 kekenyangan.
Mereka mengekalkan kesegaran makana dengan cara merebus, mengukus ataupun
membakar. Mereka tidak mengenal istilah hidangan bergoreng!
Mereka menghidangkan banyak sayuran yang kaya dengan
anti oksida dan mineral seperti brokoli selain daripada mengandungi minyak
zaitun, biji-bijian dan beras. Sejak dari zaman ketamadunan Jepun, golongan
petani dan pekebun merupakan golongan yang dihargai dan dihormati kerana mereka
sanggup membanting tulang dan menyediakan makanan yang secukupnya. Mereka
memetik sendiri tanaman yang ditanam oleh mereka di kebun mini mereka.
Gaya Hidup yang Aktif
Orang Jepun berjalan dengan langkah yang pantas dan bergaya hidup aktif
dengan menggantungkan kebahagiaan kepada pekerjaan. Kebanyakan mereka mempunyai
pergelangan tangan yang berurat besar, tangan yang kasar walaupun wajah
wanitanya licin seperti anak patung. Mereka sangat cekal dan komited dalam
bekerja. Mereka bekerja dengan penuh etika dan bersifat workaholic.
Pada suatu hari, Rasulullah bertemu dengan sahabatnya, Saad al-Anshari.
Saad memperlihatkan tangannya yang melepuh kerana bekerja sebagai tukang
penghancur batu. Rasulullah bertanya,"Wahai Saad, mengapa tangan kamu hitam,
kasar dan melepuh?" Saad menjawab “ Tangan ini aku gunakan demi mencari nafkah
keluarga, ya Rasulullah” Lantas baginda mengambil tangan Saad lalu menciumnya
seraya berkata “Demi Allah, tangan yang seperti ini tidak pernah menyentuh api
neraka”.
Contohnya, di bilik hospital Jepun, semua petugas bilik bedah, doktor
bedah, pakar bius, jururawat dan pembantu bilik bedah masih memiliki semangat
dan tenaga yang sama ketika jam terakhir bertugas dengan masa memulakan tugas.
Sehingga tengah malam mereka masih menyusun rapi dan membersihkan semua
keperluan pembedahan hari esok.
Budaya Hidup yang Bersih
Masyarakat Jepun amat mementingkan kebersihan sehingga jarang kita
dengar tentang penularan wabak penyakit di sana. Seperti anjuran Rasulullah,
mereka terus membersihkan gigi mereka setiap kali selesai makan.
Sampah-sarap juga tidak berserakan di merata-rata tempat umum. Sampah
mereka dikumpulkan mengikut klasifikasi yang berbeza seperti sampah plastic,
kaca, elektronik, dapur dan sebagainya. Tong-tong sampah di tempat mereka juga
bersih dan kurang berbau. Oleh sebab itu, jarang kita lihat haiwan vektor di kawasan
persekitaran.
Selain itu, udara persekitaran kota-kota di Jepun tetap bersih walaupun
Jepun sememangnya terkenal sebagai antara negara perindustrian yang pesat di
dunia. Hal ini kerana kawasan-kawasan perindustrian diletakkan berasingan dari
kawasan kediaman penduduk serta kenderaan mereka juga mengeluarkan bahan karbon
pencemar yang rendah. Oleh itu, penduduk bebas melakukan kegiatan rekreasi
tanpa mengira masa dan tempat.
Bagi akiviti lalu lintas di negara Jepun, mereka mengamalkan budaya
yang bertimbang rasa serta berhemat terhadap pengguna jalan raya yang lain.
Mereka secara automatic memberhentikan kenderaan sekiranya pejalan kaki atau
penunggang basikal ingin melintas jalan. Aktiviti berbasikal pula menjadi
amalan dalam kehidupan harian mereka tanpa mengira usia muda hingga tua. Laluan pejalan kaki pula cukup lebar; 1-4
meter lebar. Terdapat juga lintasan “braile” berupa jubin marmar yang
berbenjol-benjol di tengahnya bagi golongan cacat penglihatan untuk mereka
melintas jalan dengan selamat.
Tip-tip Kesihatan negara Jepun: Masyarakat Okinawa
- Banyakkan makan kekacang, sayur-sayuran, buah-buahan, ikan laut dan rumput laut. Makanan khusus masyarakat Okinawa ialah ukon (sejenis kunyit dan cuka hitam).
- Lebihkan minum air suam (8 gelas sehari) dan ocha (the hijau).
- Kurangkan pengambilan lemak haiwan dan lemak sayuran. Minyak canola dan minyak bijian lebh sesuai dalam hidangan.
- Pengambilan garam kurang daripada 3 sudu teh sehari.
- Makan hanya 80% kenyang supaya terhindar obesity ( hara hachi bu).
- Makanan segera (fast food) yang mengandungi banyak bahan kimia tidak menarik perhatian mereka.
- Makanan kebanyakan dimasak dengan cara merebus atau dimasak seperti sup miso yang menggunakan minyak yang sedikit untuk menumis bahan masakan.
Walaupun Allah belum membuka hati mereka, tetapi Dia dengan adil memberi
nyawa yang panjang kepada mereka sebagai ganjaran amalan gaya hidup sihat
mereka dan mengikut kudrat natural manusia. Bagaimana dengan kita? Bukankah kita
sebagai umat Islam yang mahukan usia yang panjang untuk terus beramal?
Jadi, marilah kita bersama-sama mengambil iktibar dan menjadikan amalan masyarakat Jepun sebagai contoh dan bukti bahawa panduan Islam sebenarnya tidaklah susah untuk diamalkan. Sedangkan Jepun yang paling sedikit penganut agama Islam boleh melaksanakan amalan seperti sunnah Rasulullah, inikan pula kita sebagai umat Islam yang telah dilahirkan sebagai Islam.
Wallahualam...