23 Aug 2013

Manu Chao

Assalamualaikum w.b.t

Memang dah lama aku tak hapdet pasai video. Tapi kali ni aku nak tunjuk kat hangpa artis kegemaran aku sekarang. Mungkin aku baru saja kenal Manu Chao ni walaupun dia dah berkecimpung dalam bidang muzik reggae sejak 1984 dengan band dia sendiri. Tapi tahun 1995, dia aktif dalam muzik secara solo.

Dia biasanya bawa lagu dalam banyak bahasa seperti; Perancis, Sepanyol, Arab, Itali, Portugis dan lain-lain. Pada pandangan aku, arrangement lagu dia memang sempoi. Rileks, boleh layan, ada mesej tersendiri. Kalau hangpa tau pasai band atau artis-artis reggae yang lain, boleh la bagi link kat aku. Aku nak try layan. 
Peace Yaaaooouuu!!!



17 Aug 2013

Patah berbekas, hilang tiada ganti

Assalamualaikum w.b.t

Sayu hati ini. Tahun ini. Aku masih lagi dalam keadaan terkejut. Aku sangat tidak menyangka semuanya berlaku pada tahun ini.

Masa tu aku ada di Pelenggang Cahaya, ada sesi gotong-royong sikit. Ibu aku telefon aku dan dia cakap Opah aku dah tak ada. Aku terkesima sebab dah lama aku tak jumpa dengan opah aku. Kali terakhir aku jumpa dia adalah 4 bulan sebelum dia pergi. Masa tu dia nampak sihat saja. Aku bertolak ke Taiping tengah hari tu jugak dengan saudaraku. Saudara ku cakap, dia memang tak sakit apa. Kencing manis ke, jantung ke, darah tinggi ke, buah pinggang ke, semua tak ada. Cuma kaki dia memang ada masalah sikit. Tak boleh nak berdiri sangat. Mungkin dah tiba masanya.

 Aku redha pemergiannya sebab dia pergi pada hari Sayyidul Ayyam. Hari yang baik. Suasana sedikit riuh pada saat jenazah opah nak diangkat ke keranda. Mak Su aku iaitu anak opah aku meronta-ronta tak benarkan sesiapa angkat jenazah. Aku tahu, dialah yang paling setia menjaga opah masa dia masih hidup. Dia masih lagi terkejut dengan semua yang berlaku. Kemudian, dia ditenangkan oleh adik-beradik, jiran-jiran supaya melepaskan arwah pergi. Terketar-ketar badan dia terduduk di atas kerusi. Hampir pitam. 

Sekali lagi, aku dikejutkan dengan panggilan ibu aku selepas aku menduduki peperiksaan akhir sem. Masa tu baru habis kertas Analisis Skrip. Ibu aku cakap, Pak Lang aku yang ketika itu masuk wad ICU dah tak sedar, dalam keadaan yang terlalu lemah. Memang ibuku ada menyuruh aku pergi ke Shah Alam untuk ziarah Pak Lang aku, tapi aku melengahkan dengan sebab aku nak exam dan nak fokus untuk ulangkaji. Tapi bila dapat tahu keadaannya dah begitu teruk, aku mula menyalahkan diri sendiri. Aku menganggap bahawa aku ni adalah orang yang pentingkan diri sendiri. Aku menangis semalaman dan bertekad, selesai paper English petang Sabtu tu, aku nak ambil tiket bas pergi ke Shah Alam. Aku dah tak peduli tentang paper aku yang last pada hari Isnin berikutnya.

Aku bertolak ke Shah Alam dengan menaiki bas dalam keadaan yang sangat gundah. Ibu aku kerap menelefonku dan dia bimbang kalau aku tak sempat sampai hospital. Setibanya aku di Shah Alam, aku terus pergi ke hospital Sime Darby dengan adik aku. Aku masuk dalam bilik Pak Lang aku, dan bayangkan matanya ditutup dengan kapas sebab dia tak boleh tutup mata dengan kelopak mata. Aku terus peluk Mak Lang aku. Dia cakap "Akak, terima kasih sanggup mai tengok Pak Lang." Aku memang tersentuh, sedih ya amat. aku dah anggap Pak Lang aku umpama bapa aku yang kedua. Aku sempat bisik kat telinga dia, " Pak Lang, akak mintak ampun kalau akak ada buat silap dengan Pak Lang. Terima kasih sebab bagi semangat kat akak selama ni. Kalau tak kerana Pak Lang, tak mungkin akak berada sampai tahap macam ni".

Aku baca yassin, aku berdoa, aku tawakkal dengan keadaan dia yang sangat tenat. Analisis terakhir, dia didiagnosis menghidap kanser darah. Semua ini terlalu cepat bagi aku sebab baru seminggu dia masuk ICU. Sebelum ni dia disuspek menghidap buah pinggang, tapi kristal yang ada kat buah pinggang dia dah hilang lepas dia berubat cara alternatif Islam. Masa tu dalam 3 bulan dia sakit di hospital.

Aku bermalam di hospital sampai keesokan paginya. Doktor cakap, dia dah tak ada harapan dan minta kami sentiasa berdoa dan teman dia. Dia meninggal pada tengah hari itu. 16 Jun 2013, bersamaan Hari Bapa dia pergi meninggalkan seorang anak lelaki dan isteri. Aku sendiri menyaksikan Pak Lang aku menghembuskan nafas yang terakhir. Ya Allah, tenangnya dan senangnya dia pergi pada bulan yang mulia, bulan Syaaban.

Menurut salah seorang jururawat di situ, belum pernah dia melihat seorang pesakit yang mempunyai ramai pelawat seperti Pak Lang aku sepanjang tempoh dia bekerja di hospital. Malah dia turut tertanya-tanya, siapakah yang sebenarnya Pak Lang ku ini? Dato? Tan Sri? Doktor? Tak. Dia hanya insan biasa. Jururawat tu jugak tak pernah melihat seorang pesakit yang dalam keadaan sangat lemah masih berupaya menunaikan solat fardhu. Itulah Pak Lang aku. Tak pernah tinggal solat dan al-Quran sepanjang hayatnya walau apa jua keadaan sekalipun. 

Selepas daripada semua itu, aku sedar bahawa nikmat sebuah kematian itu sebenarnya boleh dirasai. Semuanya bergantung kepada habluminallah hablumminannas. Yang pergi tetap pergi, yang hidup, teruskan mengumpul amalan yang baik. Pemergian dua insan yang amat istimewa ini telah menjentik sanubariku dan menyedarkan aku tentang masa. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh mereka. ~Al-Fatihah~